Saturday, June 9, 2007

MIT temui kaedah cas tanpa wayar


BOSTON 8 Jun – Massachusetts Institute of Technology (MIT) berjaya menghidupkan lampu 60 watt dengan penyaluran tenaga tanpa wayar melalui satu peralatan dari jarak kira-kira dua meter (tujuh kaki) – penemuan yang bakal mencerahkan harapan untuk mengecas telefon dan komputer riba tanpa menggunakan kaedah semasa.

Kejayaan ini yang digelar WiTricity didedahkan semalam dalam jurnal Science Express yang diterbitkan secara online.

“Penemuan ini boleh membebaskan kita daripada penggunaan kabel untuk mendapatkan tenaga, sekurang-kurangnya untuk kegunaan rumah ataupun pejabat,” kata salah seorang anggota pasukan MIT yang menjalankan kajian ini, Aristeidis Karalis dalam tulisan jurnal itu.

Pasukan itu terdiri daripada enam anggota.

Bagaimanapun konsep ini bukanlah sesuatu yang baru.

Ini kerana penggunaannya telah diketepikan kerana tenaga yang dikeluarkan melalui peralatan berkenaan akan memancar dalam pelbagai arah.

Satu kajian telah dijalankan sebelum ini oleh profesor fizik MIT, Marin Soljacic, seorang lagi anggota pasukan itu, yang berjaya menemui kaedah pencantuman gelombang yang disatukan pada frekuensi yang sama membolehkan pertukaran kuasa yang lebih efektif.

Kaedah ini adalah sama dengan seorang penyanyi opera yang berjaya memecahkan gelas yang menghasilkan gema pada frekuensi yang sama dengan suara penyanyi tersebut.

“Penemuan ini adalah sesuatu yang menggembirakan dan boleh dihasilkan semula pada bila-bila masa,” tambah Soljacic.

Penemuan ini dijangka mengurangkan penggantungan saluran tenaga dari kabel dan bateri serta penggunaan alat kimia yang beracun dan bakal digantikan dengan tenaga yang dihasilkan melalui udara.

Bagaimanapun penggunaan ini masih perlu diperincikan kerana ia hanya 40 hingga 45 peratus berkesan dan ujian perlu digandakan sebelum boleh menggantikan penggunaan bateri yang dicas.

Soljacic percaya penemuan ini boleh dipertingkatkan, malah ia mungkin boleh menghidupkan seluruh peralatan dalam sesebuah bilik dengan hanya menggunakan tenaga di bawah kaedah tanpa wayar.

Malah setakat ini, WiTricity adalah selamat dan tidak mendatangkan ancaman kepada manusia namun kajian lanjut masih perlu dijalankan, kata pasukan itu.

Penemuan ini telah pun mendapat sambutan daripada pihak industri.

– AP


see video clip here.

No comments: