Wednesday, January 9, 2008

Salam Hijrah 1429

Bermula petang tadi, selepas solat maghrib bermula perkiraan tahun baru bagi kalendar hijrah iaitu tahun 1429. Saya yakin ada yang berdoa pada petang tadi selepas solat asar atau sebelum solat maghrib yang dikatakan doa akhir tahun. Dan ada juga yang berdoa sebaik selesai solat maghrib yang dikatakan pula doa awal tahun.

Namun perkara ini tidak dilakukan di Perlis darus sunnah, dan telah diarahkan oleh jabatan mufti perlis. Saya tidak berminat untuk mengatakan perbuatan bacaan doa akhir tahun dan awal tahun itu salah atau tidak, kerana saya tiada hujah yang boleh diberikan. Namun perkara yang baik, dan difahami serta dilakukan dengan niat yang betul serta tidak melanggar hukum-hukum yang qat'ie (putus) yang terdapat dalam nas Al-Quran dan hadis, maka bagi saya tidak menjadi suatu yang terlalu berat atau memberi kesan yang besar kepada akidah.

Namun yang lebih penting ialah pembawaan dalam diri kita sebagai penganut muslim. Ramai yang memasang niat serta azam yang baik sempena awal hijrah. Ramai juga di kalangan kita yang memberi SMS berbentuk ucapan atau nasihat yang baik sempena awal hijrah. Semuanya itu adalah suatu keadaan yang baik dan tidak perlu dipertikaikan.

Menyusuri sirah permulaan perkiraan tahun hijrah bagi kalendar penganut Islam, idea asalnya telah dilontarkan dan dilaksanakan oleh khalifah ar-rasyidun yang kedua, saidina umar al-khattab. Namun dari tarikh berlakunya peristiwa hijrah, ianya bukan berlaku pada bulan Muharam. Bahkan peristiwa hijrah kaum muslimin pada peringkat awal pembentukan kelompok muslimin, melalui beberapa kali.

Nabi SAW pernah pergi ke Thaif untuk mengeluarkan kaum muslimin daripada terus ditindas oleh kaum Quraisy. Namun penduduk Thaif menolak seruan nabi Muhammad. Kaum muslimin pernah juga berhijrah ke Najasyi. Raja Najasyi telah memberi layanan yang baik kepada kaum muslimin, namun perkembangan Islam di sana terlalu sedikit dan perlahan. Rasulullah perlu mencari tapak pengembangan dakwah yang lebih strategik. Selari dengan wahyu yang Allah berikan kepada nabi SAW, maka Rasulullah dan kaum muslimin berhijrah ke Yathrib (Madinah). Hijrah ke Yahtrib ini berkait dengan beberapa peristiwa seperti perjanjian Aqabah I dan perjanjian Aqabah II dengan kaum Aus dan Khazraj yang menetap di Yathrib.

Sememangnya fitrah kehidupan, berhijrah atau merantau ke beberapa daerah atau tempat akan mengembangkan lagi pengetahuan, kemahiran dan interkasi. Bahkan kaum muslimin boleh mengembangkan usaha dalam menggunakan method yang berbeza mengikut tempat yang berbeza.

Sepertimana berlaku ketika pengembangan Islam ke Utara Afrika dan seterusnya ke Eropah melaui Andalusia (Sepanyol), pendakwah-pendakwah Islam pada zaman lampau bersungguh-sungguh serta mempunyai keazaman yang tinggi serta mempunyai matlamat yang jelas. Dengan sikap sedemikian, Alhamdulillah Tanah Melayu juga menerima dakwah yang dibawa oleh pendakwah yang datang berdagang.

Melihat keadaan semasa umat Islam pada zaman sekarang, terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang dilakukan. Kita bukan sahaja lemah dari segi ekonomi, ketenteraan dan politik, tetapi akhlak umat Islam telah luntur, akidah telah goyah, dan tauhid juga mungkin telah terpesong.

Dalam apa jua keadaan, samada pada awal tahun hijrah atau pada akhir tahun hijrah, kita perlu sentiasa mengambil rujukan yang paling tinggi. Rujukan atau manual kehidupan yang diberikan oleh Pencipta semua makhluk sebagai panduan dalam perkara yang dibolehkan dan dilarang. Rujuklah kitab Al-Quran. Maksud hadis nabi SAW, "Aku telah meninggalkan dua perkara kepada kamu (kaum muslimin), seandainya kaum berpegang (teguh) dengan keduanya, maka kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu Al-Quran dan Sunnahku". (maaf, tidak ingat perawi).